Pentadbiran Harta Pusaka

PENTADBIRAN HARTA PUSAKA

Mungkin ada yang bertanya, apa perbezaan di antara ‘Pentadbiran Harta Pusaka Tanpa Wasiat’ dengan ‘Pentadbiran Harta Pusaka Dengan Wasiat’?

PENTADBIRAN HARTA PUSAKA TANPA WASIAT

Apabila berlaku kematian, pelbagai aktiviti terhenti secara tiba-tiba, antaranya pembekuan akaun-akaun di bank, unit amanah saham, saham-saham syarikat, perlindungan insuran, takaful, Tabung Haji, urusan hartanah tergendala, penjualan kereta tidak boleh dilakukan, termasuk timbulnya persoalan bila pengeluaran KWSP boleh dilakukan.

Hanya apabila Surat Kuasa (Letter of Administration) diperolehi daripada badan-badan tertentu, barulah proses pembahagian asset dapat dilakukan. Untuk mendapat Surat Kuasa tadi, ia adalah satu proses yang rumit dan memakan masa yang agak lama (antara 1 – 2 tahun). Ini tidak termasuk masa untuk pembahagian yang bergantung kepada bentuk harta (antara 1 – 15 tahun lagi). Sekiranya tiada wasiat, proses permohonan dan pembahagian membawa kepada pelbagai akibat dan boleh menggendalakan pelbagai urusan waris yang hidup.

Di Malaysia, tempat permohonan untuk mendapat Surat Kuasa bergantung kepada bentuk dan jumlah aset simati iaitu:

Amanah Raya Berhad: Untuk jumlah aset yang kurang dari RM600,000 DAN bentuk aset simati sama sekali tiada mengandungi hartanah (Akta Perbadanan Amanah Raya Berhad 1995); atau

Pejabat Tanah Bahagian Pusaka Kecil: Untuk jumlah aset yang kurang dari RM600,000 dan aset simati mengandungi hartanah (Akta Pembahagian Harta Pusaka Kecil 1955); atau

Mahkamah Tinggi: Untuk semua bentuk aset di mana nilainya melebihi RM600,000 (Kaedah-kaedah Mahkamah Tinggi 1980).

Mahkamah Syariah: Untuk orang Islam sahaja iaitu di mana Sijil Faraid dikeluarkan dahulu dan dikepilkan bersama semua permohonan di atas.

Di dalam proses meluluskan permohonan untuk mendapatkan Surat Kuasa kepada pentadbir aset simati, Mahkamah Tinggi akan meminta dikemukakan dua orang penjamin yang setiap seorang mempunyai nilai aset bersamaan dengan nilai aset simati. Setelah memperolehi Surat Kuasa, tugas pentadbir yang seterusnya ialah untuk mentadbir (jual aset sekiranya perlu) dan membahagikan aset-aset simati. Jumlah masa menguruskannya bergantung kepada bentuk harta dan kerjasama waris-waris.

Untuk orang bukan Islam, pembahagian adalah mengikut Akta Pembahagian 1959 di mana telah ditentukan menurut undang-undang sivil. Bagi orang Islam, pembahagian adalah mengikut hukum syarak iaitu menurut hukum Faraid, tetapi sekiranya semua waris yang layak bersepakat atau bermuafakat maka pembahagian boleh mengikut persetujuan bersama.

Rajah Pusaka

 

PENTADBIRAN HARTA PUSAKA DENGAN WASIAT

Sekiranya wasiat telah dibuat oleh simati maka proses pentadbiran adalah lebih pantas di mana Geran Probet akan terus diberikan oleh Mahkamah Tinggi. Ini adalah mengikut Akta Probet dan Surat Pentadbiran Pusaka 1959 yang terpakai untuk semua orang, tidak kira Islam atau tidak. Permohonan Geran Probet boleh dipohon oleh wasi yang dinamakan di dalam wasiat simati (pewasiat). Di dalam permohonan ini, Mahkamah tidak memerlukan sebarang penjamin lagi.

Rasulullah s.a.w. bersabda:
Orang yang malang ialah orang yang tidak sempat berwasiat. – Hadis riwayat Ibnu Majah

tuliswasiatarb

Bagi wasiat orang Islam ianya adalah mengikut hukum syarak. Setakat ini, hanya Selangor dan Negeri Sembilan sahaja yang mempunyai enakmen mengenai wasiat untuk umat Islam iaitu Enakmen Wasiat Orang Islam (Selangor) 1999 dan Enakmen Wasiat Orang Islam (Negeri Sembilan) 2004. Walaupun begitu, format wasiat Islam ini secara umumnya diterima pakai di negeri-negeri lain di Malaysia.

Menurut prinsip Wasiat Islam, pembahagian sehingga 1/3 daripada aset bersih simati boleh diwasiatkan kepada bukan waris atau waris yang terdinding, dan bakinya hendaklah dibahagikan kepada waris mengikut hukum faraid atau melalui permuafakatan semua waris mengikut seperti pesanan pewasiat.

Sabda Rasulullah s.a.w. lagi:
Sesiapa yang meninggal dunia dengan meninggalkan wasiat maka dia mati di atas jalan Islam dan mengikut sunnah. Dia mati dalam keadaan bertaqwa, bersyahadah dan dalam keadaan diampunkan.
– Hadis riwayat Ibnu Majah

Dengan wasiat yang disediakan, pentadbir yang dinamakan hanya perlu memperolehi Sijil Faraid dari Mahkamah Syariah dan menyertakannya bersama dokumen lain seperti surat mati dan wasiat kepada mahkamah untuk diberikan Geran Probet dan membolehkan pembahagian diteruskan. Tempoh penyelesaian adalah lebih cepat antara 6 bulan ke setahun berbanding tanpa sebarang wasiat. 

Skip to toolbar