Founder & CEO Warisan Mukmin

KENALI PENGASAS & CEO
WARISAN MUKMIN SDN BHD

 

Pengenalan :

admin

Haji Mohd Safri Mahat adalah Pengasas @ Founder, Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Warisan MUKMIN Sdn Bhd.

Melalui Warisan MUKMIN Sdn Bhd ini (WMSB), beliau mempelopori satu model perkhidmatan lengkap dalam bidang Pengurusan Kewangan Peribadi berasaskan Syariah di bawah jenama WarisanMUKMIN.

model-muamalat-4P

Melalui inisiatif ini, beliau berusaha mengintegrasikan perkhidmatan dan produk-produk kewangan Islam dalam satu pakej lengkap dan bersepadu yang dikenali sebagai Model Muamalat Mukmin yang merangkumi empat pelan utama (Pelan Muamalat 4P) iaitu pelan-pelan Pelaburan, Perlindungan, Penyucian dan Pewarisan bagi seorang Muslim Mukmin meningkatkan keberkesanan dan pulangan terhadap aktiviti-aktiviti kewangan dan ekonomi yang dilakukan.

Latar Belakang Akademik :

Haji Mohd Safri merupakan graduan UKM dalam bidang Ekonomi (1986) dan ITM dalam bidang Perakaunan dan Percukaian (1988). Beliau juga memperolehi kelulusan sebagai Akauntan Cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967 dalam tahun 1988.

Beliau juga memperolehi kelulusan sebagai Perunding Kewangan Islam (IFP – Islamic Financial Planner) daripada Financial Planning Association of Malaysia (FPAM) dalam tahun 2010.

Pengalaman Bekerja :

Haji Mohd Safri pernah berkhidmat di Jabatan Hasil Dalam Negeri (1986-1988). Melalui kelulusan sebagai Akauntan Cukai di bawah ACP 1967, beliau telah mula bergiat dalam bidang keusahawanan dengan menjalankan khidmat perunding cukai melalui syarikatnya, SHAF & Associates (1988) di ketika usianya 25 tahun.

k28Konsep baru pengurusan zakat secara profesional yang diperkenalkan Pusat Pungutan Zakat (PPZ) pada tahun 1990 telah menarik minat beliau ketika itu untuk berkhidmat dengan institusi tersebut dan menjadikan beliau sebagai salah seorang perintis kepada era baru pengurusan zakat di Malaysia.

k21Bakat kepimpinan beliau terus menyerlah apabila beliau telah diberi amanah untuk mengasas dan menerajui Pusat Zakat Selangor (PZS) sebagai Pengurus Besar mulai tahun 1995. Rekod kecemerlangan PZS sehingga menjadi sebuah institusi tersohor dan disegani di negara ini di samping menjadi contoh kepada negara luar, merupakan bukti kecemerlangan kepimpinan beliau bukan sahaja di peringkat kebangsaan, malah diakui di peringkat antarabangsa.

Namun sifat keusahawanan yang menebal dalam dirinya telah mendorong beliau untuk melepaskan jawatannya pada tahun 2004, selepas hampir 15 tahun menabur bakti membangun dan memartabatkan kembali kewibawaan institusi zakat, serta meletakkan zakat berada di arus perdana negara.

Bidang Keusahawanan :

100_6704

Di samping WMSB, beliau juga telah menubuhkan Safri Management Consultant Sdn Bhd (SMCSB) yang memberikan penumpuan khusus dalam bidang pentadbiran pengurusan dan pembangunan modal insan. Melalui SMCSB, beliau telah berjaya mempelopori dan mengasaskan model pembangunan modal insan J.I.W.A.TM yang memberi penumpuan kepada empat (4) komponen teras elemen dalaman manusia iaitu Jatidiri, Ilmu, Wawasan dan Akidah dalam membentuk dan melahirkan umat yang cemerlang dan berkualiti bagi meningkatkan ketamadunan ummah. Melalui model pembangunan J.I.W.A.TM ini, beliau kini aktif melaksanakan pelbagai program pembangunan modal insan meliputi pelbagai peringkat termasuk pelajar, remaja, belia, ibubapa, ibu tunggal, asnaf fakir miskin, usahawan dan sebagainya.

Peringkat Antarabangsa:

k06Di peringkat antarabangsa pula, beliau sering dijemput membentangkan kertas kerja khususnya berkaitan pengurusan zakat. Beliau telah dilantik sebagai penasihat kepada HTHT Advisory Services Pte Ltd, sebuah syarikat perunding kewangan Islam swasta di Singapura, sejak 1999 hingga kini. Penghormatan tertinggi pernah diterima di peringkat antarabangsa ialah sebagai ‘Tetamu Negara’ di Istana Negara, Jakarta oleh Kerajaan Republik Indonesia ketika membantu mewujudkan Badan Zakat Nasional (BAZNAS), Indonesia, yang dilancarkan oleh Presiden Megawati Suekarnoputri pada 29 Mei 2002.

Anugerah Pingat :

Atas sumbangan jasa dan khidmat cemerlang yang telah dicurahkannya, beliau telah dikurniakan Pingat Pekerti Terpilih (P.P.T.) oleh DYMM Sultan Selangor pada tahun 2002.

REKOD PENCAPAIAN

Pelopor Dalam Institusi Zakat Masakini

Haji Mohd Safri amat mementingkan budaya kreativiti dan inovasi di dalam pengurusannya. Dengan nilai inovasi ini, organisasi pimpinannya, Pusat Zakat Selangor (PZS) sejak ditubuhkan, sering menjadi pelopor atau “trend setter” khususnya kepada pengurusan institusi zakat di negara ini, sekaligus menjadi rujukan di peringkat antarabangsa.

Beliau bersama rakan-rakan seperjuangannya telah berjaya mempelopori satu sistem pengurusan zakat yang lebih profesional dan dinamik. Antara inovasi yang telah dipelopori beliau ialah kejayaan meletakkan PZS sebagai:

  • Institusi zakat pertama melantik bank sebagai agen kutipan zakat; bermula dengan Bank Pertanian Malaysia (1995) di mana kini boleh dikatakan kesemua bank utama telah dilantik sebagai agen kutipan zakat di seluruh negara.
  • Institusi zakat pertama memperkenalkan pembayaran zakat melalui Phonebanking dengan kerjasama Maybank pada tahun 1999.
  • Institusi zakat pertama menyediakan perkhidmatan membayar zakat secara on-line (1999).
  • Institusi zakat pertama menyediakan sistem teknologi web – membolehkan pembayar menyemak sendiri rekod pembayaran zakat secara on-line (1999).
  • Institusi zakat pertama mendapat pengiktirafan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9002 dalam skop lengkap pengurusan zakat – kutipan dan agihan zakat dalam tahun 1999.
  • Institusi zakat pertama di Malaysia yang menguruskan agihan zakat secara korporat (1999).
  • Institusi zakat pertama memperkenalkan pembayaran zakat menggunakan Slip Bank Sebagai Resit Resmi (SBSRR) yang diiktiraf oleh LHDN mulai tahun 2000 dengan kini hampir semua bank yang menjadi agen menggunakan slip ini di seluruh negara.
  • Institusi zakat pertama yang melantik Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) sebagai agen kutipan zakat iaitu Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 2000 dan diikuti dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) pada tahun 2003.
  • Institusi zakat pertama yang memperkenalkan pembayaran zakat menggunakan kad kredit iaitu dengan Kad Kredit Bank Islam dan At-Taslif Ambank pada tahun 2002.
  • Institusi zakat pertama yang melantik Pos Malaysia Berhad sebagai agen kutipan zakat mulai 2003, dan kini telah diperkembangkan ke negeri-negeri lain di seluruh negara.

Skip to toolbar