Faraid

Info Mengenai Faraid

 

PENGERTIAN FARAID

Faraid dari segi bahasa bermaksud ketetapan.

Menurut istilah syarak, Faraid adalah pembahagian harta pusaka selepas kematian seseorang Islam yang telah ditetapkan di bawah Hukum Syarak ke atas waris-waris yang sah dan layak (seperti  anak, isteri, suami, ibu, bapa dan lain-lain). Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang-hutang pewaris samada berbentuk agama (seperti zakat, nazar, dll) atau hutang kepada manusia dan menunaikan wasiat yang dibenarkan oleh syarak.

HUKUM BERKENAAN FARAID

Menurut Islam, selepas kematian seseorang Muslim, maka wujudlah hak-hak tertentu ke atas harta yang ditinggalkannya. Hak-hak tersebut telahpun ditentukan sendiri oleh ALLAH secara khusus di bawah hukum faraid. Pembahagian faraid kepada yang berhak hukumnya adalah WAJIB untuk ditunaikan, dan FARDHU KIFAYAH kepada umat Islam (khususnya waris-waris) untuk menyelesaikannya, sama hukumnya seperti menyembahyangkan jenazah. Pembahagian harta pusaka menurut kaedah dan pelaksanaan Islam adalah suatu pembahagian yang sangat adil dan sistematik kerana ALLAH sebagai pencipta manusia mengetahui dimana letaknya kekurangan dan kelebihan dalam diri manusia itu.

Di dalam surah An-Nisa’ ayat 11-13 telah menerangkan tentang kaedah pembahagian Faraid dengan jelas, manakala dalam surah yang sama ayat yang ke-14 Allah telah mengecam manusia yang beriman sekiranya ingkar dengan perintah ALLAH ini.

Maksud surah An-Nisa’ (ayat 14):
“Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya dan melanggar ketentutan-ketentuan-Nya, nescaya ALLAH akan memasukkannya kedalam api neraka sedang ia kekal di dalamnya; dan baginya seksa yang menghinakan”.


Ini jelas menunjukkan bahawa sekiranya umat Islam itu ingkar dengan ketentuan ALLAH, maka ALLAH akan melemparkannya ke dalam api neraka selama-lamanya. Ini menunjukkan bahawa suatu ancaman yang amat berat bagi mereka yang mengabaikan pelaksanaan hukum Faraid dalam pembahagian harta pusaka.

PERINGATAN!

Sekiranya pembahagian Faraid diabaikan, dikhuatiri akan berlaku:

  • Memakan harta anak yatim
  • Memakan harta saudara-mara
  • Memakan harta Baitulmal

TUNTUTAN BELAJAR ILMU FARAID

Sabda Rasulullah saw:
Pelajarilah ilmu Faraid dan ajarkanlah kepada manusia, kerana ianya adalah separuh daripada ilmu dan akan dilupakan. Ia juga adalah ilmu yang pertama akan dicabut dari umatku.
– Hadis riwayat Ibnu Majah daripada Abu Hurairah

Sabda Rasulullah saw:
Pelajarilah ilmu Faraid dan ajarkanlah kepada orang lain. Sesungguhnya aku akan mati, ilmu ini juga akan mati dan akan berlaku kacau-bilau. Sehingga apabila dua orang bertelingkah kerana harta pusaka, mereka tidak akan dapat menemui sesiapa yang boleh menyelesaikan kes mereka.
– Hadis riwayat al-Hakim daripada Ibnu Mas’ud

ISU PERLAKSANAAN FARAID MASAKINI

Walaupun hukumnya adalah jelas WAJIB, namun realitinya, sebanyak sejuta kes tanah pusaka di Malaysia (laporan Pejabat Tanah) dianggar bernilai RM42 bilion masih tidak dapat diselesaikan kerana masalah pewarisan dan 90% daripadanya adalah milik orang Melayu (yang rata-ratanya beragama Islam). Begitu juga mengikut laporan KWSP, lebih daripada RM70 juta wang KWSP tidak dituntut oleh waris. Ini bermakna begitu banyak sekali harta-harta umat Islam yang terbeku dan mereka yang berhak dan layak tidak mendapat bahagian mereka. Ini juga bermakna sistem faraid tidak berjalan dengan baik pada ketika ini. Timbul persoalan dari segi hukumnya, siapakah yang akan menanggung dosa-dosa ini?

Di samping itu begitu banyak kes berlakunya pertelingkahan dan perselisihan di kalangan umat Islam kerana merebut harta pusaka sepertimana yang digambarkan oleh Rasulullah di atas. Lebih malang dan amat menyedihkan ada yang menyebut bahawa ALLAH tidak adil dalam menentukan bahagian faraid.

PEMBAHAGIAN FARAID

KAEDAH PEMBAHAGIAN HARTA PUSAKA ISLAM (HUKUM FARAID)

Kaedah untuk melakukan pembahagian pusaka Islam ialah dengan terlebih dahulu meneliti siapakah di antara waris yang berhak menerima pusaka dengan jalan Ashabul-Furud, kemudian dicari siapakah yang Mahjud, barulah bakinya diberikan kepada yang berhak menerima Asabah.

1. Ashabul-Furud

Golongan ini mengambil pusaka menurut bahagian yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu sama ada 1/2, 1/3, 1/4, 2/3, 1/6 atau 1/8. Mereka terdiri daripada isteri atau suami, ibu atau nenek, bapa atau datuk, anak perempuan atau cucu perempuan, saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa dan saudara seibu.

2. Asabah

Asabah merupakan golongan yang akan terima baki setelah semua golongan Ashabul-Furud mendapat bahagian masing-masing seperti yang telah ditetapkan. Terdapat 3 jenis asabah iaitu:

(a) Asabah Binafsih

Pembahagian pusaka secara menghabisi semua harta, atau mengambil semua baki untuk waris-waris lelaki, tidak bersebab atau beserta orang lain. Mereka terdiri daripada 12 orang lelaki iaitu bapa, datuk, anak lelaki, cucu lelaki anak lelaki, saudara lelaki kandung, saudara lelaki sebapa, anak lelaki saudara lelaki kandung, anak lelaki saudara lelaki sebapa, bapa saudara kandung, bapa saudara sebapa, anak lelaki bapa sudara kandung dan anak lelaki bapa saudara sebapa.

(b) Asabah Bil Ghoir

Pembahagian pusaka secara menghabisi semua harta, atau mengambil semua baki untuk waris-waris perempuan dengan sebab adanya orang lelaki lain. Terdiri daripada 4 orang iaitu: anak perempuan atau lelaki, cucu perempuan atau lelaki, saudara kandung perempuan atau lelaki, saudara sebapa atau lelaki perempuan.

(c) Asabah Maal Ghoir

Pembahagian pusaka secara menghabisi semua harta, atau mengambil semua baki untuk waris-waris perempuan sebab beserta waris perempuan lain. Terdiri daripada 2 orang perempuan iaitu: saudara perempuan kandung  dan saudara perempuan sebapa (berkongsi dengan anak atau cucu perempuan).

3. Dzawil-Arham

Golongan ini akan menggantikan golongan (1) dan (2) setelah kedua-duanya tiada kecuali suami atau isteri tidak menghalang golongan ini mengambil bahagian harta. Tetapi biasanya golongan ini akan terhalang menerima harta. Keadaan ini disebut hijab iaitu dinding yang menjadi penghalang seseorang daripada ahli waris untuk menerima pusaka kerana masih ada ahli waris yang masih dekat hubungan kekeluargaannya dengan simati. Terdapat 4 golongan Dzawil-Arham (masih ada hubungan kerabat) iaitu: golongan datuk dan nenek, golongan cucu dan cicit  (anak dari cucu), golongan anak saudara dari saudara perempuan dan golongan bapa saudara atau emak saudara atau saudara lelaki atau perempuan ibu. Manakala hijab yang telah disebutkan tadi terdiri daripada 2 jenis iaitu Hijab Nuqshon dan Hijab Hirman.

(a) Hijab Nuqson

Terhalang dengan mengurangi pembahagian ahli waris dari menerima pembahagian Ashabul-Furud yang lebih banyak menjadi lebih sedikit, kerana masih ada ahli waris lain yang bersama-samanya. Seperti suami dari menerima setengah menjadi seperempat kerana ada anak atau cucu.

(b) Hijab Hirman

Terhalang dengan tidak menerima pembahagian pusaka sama sekali kerana masih terdapat ahli waris yang lebih dekat hubungannya dengan yang mati yang lebih berhak untuk menerima harta pusaka. Misalnya, saudara lelaki sebapa terhalang kerana adanya saudara lelaki kandung dan datuk terhalang sebab adanya bapa.

KADAR FARAID & SYARAT BAGI SETIAP KATEGORI WARIS

 

Berikut adalah bahagian-bahagian yang diperolehi oleh ahli waris berdasarkan hukum faraid.

Bahagian Diperolehi

Suami Kepada Simati

1/2

Tidak mempunyai anak ATAU Tidak mempunyai cucu dari anak lelaki

1/4

Mempunyai anak ATAU Mempunyai cucu dari anak lelaki

 

Bahagian Diperolehi

Isteri Kepada Simati

1/4

Tiada anak ATAU

Tiada cucu dari anak lelaki

1/8

Mempunyai anak ATAUMempunyai cucu dari anak lelaki

 

Bahagian Diperolehi

Anak Perempuan Simati

1/2

Hanya seorang sahaja DAN tidak ada anak lelaki

2/3

2 orang anak perempuan atau lebih DAN tiada anak lelaki

ASABAH BI-GHAIRIH

Mempunyai anak lelaki – mendapat separuh dari bahagian anak lelaki

 

Bahagian Diperolehi

Cucu Perempuan Anak Lelaki Simati

1/2

Mempunyai seorang sahaja DAN tiada anak

2/3

Mempunyai 2 orang atau lebih DAN tiada anak

1/6

Mempunyai seorang atau lebih jika bersama-sama dengan
seorang anak perempuan

ASABAH BI-GHAIRIH

Mempunyai cucu lelaki – mendapat separuh dari bahagian cucu lelaki daripada anak lelaki.

Terhalang

Adanya anak lelaki ATAU 2 anak perempuan atau lebih

 

Bahagian Diperolehi

Bapa Simati

1/6

Mempunyai anak lelaki ATAU cucu lelaki dari anak lelaki

1/6 dan ASABAH

Mempunyai anak perempuan ATAU cucu perempuan dari anak lelaki

ASABAH

Tiada anak ATAU cucu dari anak lelaki

 

Bahagian Diperolehi

Ibu Kepada simati

1/6

Mempunyai anak ATAU cucu dari anak lelaki ATAU mempunyai dua saudara kandung ATAU saudara sebapa

1/3

Tidak mempunyai anak ATAU cucu dari anak lelaki ATAU tiada dua saudara kandung ATAU saudara sebapa

1/3 dari baki

Mempunyai bapa serta suami ATAU isteri

 

Bahagian Diperolehi

Datuk Kepada simati

Sama seperti bapa

Hanya mendapat bahagian sekiranya tiada bapa

 

Bahagian Diperolehi

Saudara Perempuan Seibu Sebapa Kepada Simati

1/2

Tiada anak, cucu, bapa DAN tiada waris yang menjadikannya Asabah

2/3

Dua orang atau lebih, tiada anak, cucu, bapa DAN ahli yang menjadikannya Asabah

ASABAH

Mempunyai saudara lelaki kandung ATAU datuk

Terhalang

Adanya bapa, ATAU anak lelaki ATAU cucu lelaki dari anak lelaki

 

Bahagian Diperolehi

Saudara Perempuan Sebapa

1/2

Hanya seorang, tiada anak, cucu,saudara kandung, bapa DAN tiada ahli yang menjadikannya Asabah

2/3

Dua orang atau lebih dengan syarat tiada cucu lelaki, saudara kandung, bapa DAN tiada ahli yang menjadikannya Asabah

1/6

Seorang atau lebih mempunyai saudara perempuan seibu sebapa

ASABAH

Disebabkan oleh saudara lelaki sebapa ATAU datuk

Terhalang

1. Bapa
2. Dua orang atau lebih saudara perempuan kandung
3. Seorang saudara perempuan kandung dan mempunyai
anak perempuan dan cucu perempuan
4. Saudara lelaki kandung

 

Bahagian Diperolehi

Saudara Seibu (Lelaki / Perempuan)

1/6

Hanya seorang, tiada bapa, datuk DAN tiada anak ATAU cucu dari anak lelaki

1/3

Dua atau lebih, tiada bapa, datuk DAN tiada anak ATAU cucu dari anak lelaki

Terhalang

Adanya bapa, datuk, anak dan cucu dari anak lelaki


INGIN MENDAPATKAN KONSULTANSI FARAID?

JANGAN BERLENGAH @ BERTANGGUH! LAKUKAN SEKARANG!
KALAU BUKAN SEKARANG, BILA LAGI? SIKAP BERTANGGUH, SELALUNYA TAK MENJADI!!

HUBUNGI RAKAN PERUNDING HARTA PUSAKA KAMI
atau BUAT PESANAN SECARA ONLINE
atau HANTAR MESEJ/PERTANYAAN ONLINE
atau BERMINAT BELAJAR ILMU FARAID KAEDAH ‘AZ-ZAID’
atau hubungi talian hotline: 03-5512 5886

Skip to toolbar